Monday, October 4, 2010

Tenggelamnya Pulau Kidjang

Lokasi M.V Pulau Kidjang karam
Pulau Kidjang merupakan sebuah kapal yang beroperasi di perairan Sarawak pada pertengahan tahun 1960-an hingga awal tahun 1970-an. Kapal M.V. Pulau Kidjang dibina pada tahun 1963 dan didaftar di pelabuhan Singapura dengan nombor pendaftaran awal ialah 159456. Sijil pendaftaran yang dikeluarkan oleh kerajaan Singapura dan sah sehingga 10 Mei 1973. Kapal yang diperbuat daripada besi keluli dan kayu ini asalnya dibenarkan membawa seramai 225 orang iaitu 180 penumpang dan 45 anak kapal. Kapal Kidjang ini berperanan sebagai kapal kargo dan kapal penumpang.





Sebelum beroperasi di perairan Sarawak pada tahun 1965, kapal buatan Taiko Dackard and Engineerig Co. Ltd., Hong Kong ini pernah beroperasi diperairan Singapura dan sebahagian perairan Indonesia sehingga zaman konfrantasi pada tahun 1963, apabila perkhidmatannya terpaksa diberhentikan atas sebab-sebab tertentu.

Sejajar dengan keutamaan penguatkuasaan terhadap aspek keselamatan kapal yang beroperasi di perairan Sarawak, satu sijil keselamatan dan penumpang telah dikeluarkan oleh kerajaan Sarawak pada tahun 1965 ke atas M.V Pulau Kidjang. Sijil tersebut sah sehingga 16 Mac 1074 dan menghadkan jumlah penumpang seramai 159 orang sahaja.



Menurut artikel perjanjian anak kapal yang didaftar pada sijil keselamatan peralatan kapal M.V. Pulau Kidjang dibenarkan membawa seramai 29 orang anak kapal. Sijil tersebut sah sehingga 29 September 1973.
Serentak dengan pengeluaran sijil keselamatan dan penumpang, pemilik kapal juga telah diarahkan supaya meningkatkan beberapa kelengkapan keselamatan pelayaran termasuklah pemasangan alat perhubungan komunikasi radio.

Arahan tersebut yang terkandung di dalam surat bertarikh 10 Januari 1966 dikeluarkan setelah pemeriksaan olah Jabatan Laut Sarawak ke atas M.V Pulau Kidjang mendapati kedudukan stability kapal tidak seimbang.

Kandungan surat arahan yang ditandatangani oleh Pengarah Jabatan Laut Sarawak, Kapten I.J Nah, antara lain menyebut sekiranya 110 orang penumpang bergerak serentak di atas dek ketika kapal sedang berlabuh, ia boleh mengakibatkan kedudukan kapal condong kira-kira sepuluh darjah. Kargo juga jika diletakkan di bahagian palka dan deka atas tidak disusun dengan sempurna, kedudukan kapal akan melereng sehingga sepuluh darjah ke sebelah.

Spesifikasi kapal dengan reka bentuk struktur binaan astaka bahagian atasnya yang berat mengakibatkan pergerakan kapal tidak begitu stabil terutama ketika belayar semasa keadaan laut bergelora. Pusat gravitinya akan meningkat akibat berat badan menyebabkan kestabilan M.V. Pulau Kidjang.

Hasil siasatan yang telah dijalankan, dianggarkan seramai 140 orang penumpang termasuk 30 anak kapal menyertai pelayaran tersebut. Jumlah kargo yang dibawa pula melebihi 80 tan termasuk dua buah kereta yang diletakkan diruang kosong di atas dek. Bagaimanapun, adalah tidak diketahui di mana baki kargo yang lainnya disimpan.

M.V Pulau Kidjang didapati tidak layak belayar semasa ia karam pada kedudukan kira-kira 2.8 batu nautika dari rumah api Tanjung Jerijih atau kira-kira tiga batu nautika kearah rumah api Tanjung Jerijih. Binaan pengalih udara dan tingkap magun yang terletak di sebelah dek kapal, didapati tidak dikunci dengan ketat. Keadaan ini menyebabkan pengalih udara tersebut mudah terbuka apabila dipukul ombak yang kuat.

Akhbar The Vanguard bertarikh 31 Disember 1973 melaporkan jumlah mayat yang ditemui sehingga 30 Disember 1973 ialah 46 orang manakala 40 orang lagi selamat. Apabila gerakan mencari dan menyelamat berakhir kira-kira dua minggu selepas tragedy, sejumlah 53 mayat berjaya ditemui termasuk lima mayat anak kapal. Bagaimanapun berdasarkan kajian, dianggarkan seramai 47 orang mangsa termasuk tujuh anak kapal yang dikatakan hilang sebenarnya dipercayai terperangkap dalam bangkai M.V Pulau Kidjang. Sejumlah 12 mayat mangsa termasuk 2 mayat kanak-kanak yang tidak dapat dikenali wajah dan identiti mereka tidak diketahui telah dikebumikan di tanah perkuburan khas. Ada kemungkinan juga mayat-mayat itu merupakan penumpang dan anak kapal yang sehingga kini tidak diketahui.

27 Disember 1973, rekod menunjukkan air pasang setinggi 4.32 meter di muara Kuala Rejang bermula pada jam lima pagi manakala air surut setinggi 0.64 meter berlaku pada jam 12.00 tengah hari. M.V Pulau Kidjang meneruskan pelayaran pada kelajuan tujuh knot sejam. Juragan kapal mengarahkan jurumudi kapal berpandukan kedudukan boya lampu hijau yang terletak di sebelah selatan terus menuju ke timur. Ketika itu, juragan yang berada di bilik kemudi menyedari perubahan cuaca yang sedang berlaku. Awan mendung di langit diikuti tiupan angin yang kencang dan kemudiannya diiringi petir mengakibatkan laut bergelora. Pada masa yang sama, kapal dirempuh oleh ombak besar berulang kali. Juragan gagal mengawal kedudukan kapal lalu mengarahkan kedua-dua jurumudi supaya menukar arah haluan menuju ke Kuala Selalang.

Bagaimanapun, ketika itu keadaan angin yang kuat disertai dengan arus yang deras menyebabkan kedudukan M.V Pulau Kidjang sudah jauh tersasar ke arah Beting Selatan dengan haluannya menuju ke arah anak tanjung Wong Sands. Kawasan air yang cetek diikuti dengan rempuhan gelombang besar yang berulang-kali mengakibatkan air laut melimpah masuk dengan banyaknya ke dalam kapal. Keadaan ini menyebabkan kapal tidak stabil. Seluruh bahagian dek bawah dan separuh dek atasnya digenang air laut menyebabkan kedudukan kapal senget lalu karam.

Laporan Marine Court of Inquiry into the Sinking of the Motor Vessel Pulau Kidjang Occurred at the Mouth of Rejang River (Case No. 1/76), ribut selaju 42 knot sejam berlaku semasa M.V Pulau Kidjang karam pada 27 Disember 1973, kira-kira jam 4.03 pagi.  Akibatnya kedudukan kapal yang tidak stabil telah menyebabkan lebih 200 tan air laut melimpah masuk ke dalam M.V Pulau Kidjang. Keadaan ini telah disedari oleh beberapa penumpang dan anak kapal bermula seawal jam sebelas malam pada 26 Disember 1973 dan berterusan sehinggalah kapal malang tersebut karam pada awal pagi berikutnya.


Dipetik dari: Tenggelamnya Pulau Kidjang
Zaliha Hassan


No comments:

Post a Comment